Jumat, 17 April 2020

Kisah Seram - Hidup Segan Mati Tak Mahu

 

- Salam sejahtera ingin saya ucapkan. Kisah yang akan saya ceritakan pada semua ialah sebuah kisah yang amat menyedihkan buat saya sekeluarga. Ceritanya bermula begini...
Ayah dan ibu saya, kedua-duanya sekali, jatuh sakit secara tiba-tiba selepas seminggu saya diijabkabulkan pada 2 tahun yang lalu. Pada mulanya, saya sekeluarga tidak menyangkakan apa-apa tetapi, penyakit mereka makin menjadi-jadi.

Kalau ditanya tentang isu penyakit keluarga saya (secara saintifik dan baka), tak ada pula satu pun anggota keluarga pernah sakit sepertimana kedua ibu bapa saya sakit. Bapa saya mengalami, maaf kata, buah zakarnya besar dan bengkak, manakala ibu saya pula mengalami sesak-sesak nafas seperti ada orang yang duduk dan menekan dengan kuat dadanya. Penyakit mereka pula tidak habis di situ. Kedua-duanya sekali akan merasakan badan mereka seperti dicucuk jarum yang tajam tatkala hari menjelang waktu Maghrib.


Saya sekeluarga tiap-tiap hari berdoa agar penyakit mereka ini hilang dan pernah juga meminta bantuan, seperti solat hajat dan juga dengan pertolongan dari pakar-pakar. Setiap kali apabila habis sesi-sesi bersama pakar berserta doa kepada yang Maha Kuasa, penyakit mereka akan berkurangan tetapi akan kembali berasa sakit selepas beberapa hari. Yang musykilnya, kesemua pakar menyatakan bahawa orang yang bikin benda ini ialah orang yang sama - orang terdekat dengan keluarga kami.

Saya sekeluarga ingatkan orang itu adik kepada ayah, Cik A , lalu meminta pendapat dan bantuan dari keluarga sebelah ibu saya. Saya sekeluarga selalu meminta bantuan dari sebelah ibu yaitu Mak R kerana dia yang paling dekat dengan keluarga saya. Dia akan selalu cuba tolong hingga ingin membawa ibu bapa saya pergi bomoh, tetapi mereka menolak bukan kerana sombong dan tak mahu pertolongan cuma tidak suka dengan cara bantuan tersebut.

Hari demi hari penyakit mereka makin teruk sehinggakan perlu dirawat di ICU. Doctor tidak boleh mengesahkan penyakit mereka cuma mentafsirkan bahawa ada kuman dalam perut. Mak R akan menjenguk2 di rumah saya untuk menjaga makan minum saya sekeluarga memandangkan ibu bapa asyik terlantar di hospital. Duit simpanan pun semakin kekurangan hingga suatu hari, betul-betul, menguji kesabaran saya sekeluarga. Mereka perlu rawatan dialisis. Yang hairannya takkan kedua-duanya sekali??? Ini berlaku selama dua tahun hingga sekarang.

Tiap-tiap hari saya sekeluarga berdoa dan solat hajat dan dengan keberkatan doa, ibu saya bermimpi. Dalam mimpi dia, dia terlihat dua orang yang wajahnya amat sekali dia kenal. Dan orang itu berkata, "Aku nak tolong kau, kau tak nak...."

Keesokan pagi, ibuku meminta bantuan pakar dan seperti pakar-pakar yang sebelumnya, dia juga berkata orang yang terdekat. Ibu menunjukkan gambar orang itu untuk memastikan tetapi pakar itu agak berat untuk berkata apa-apa cuma dia berkata kepada ibu, "Kalau niat keluarga ibu untuk mengampunkan si dia, saya boleh beritahu tapi kalau untuk membalas, saya berasa berdosa. Si polan ini telah berdendam sejak 20 tahun yang lalu dan ingin keluarga ini porak peranda, rezeki berkurangan dan ingin kedua ibu bapa saya mati secara perlahan-lahan. Naudzubillah..."

Apabila si pakar berkata begitu, saya sudah dapat tangkap apa maksudnya tetapi saya sekeluarga dengan rela memaafkan orang itu kerana saya percaya, kalau tidak dibalas perbuatannya di dunia ini, di akhirat lagi teruk. Saya sekeluarga serahkan sahaja kepada Tuhan.

Di sini saya ingin mengatakan bahawa orang yang selalu dekat pada saya sekeluarga dan memberi bantuan rupanya dia lah orangnya. Bukan sahaja Ibu bapa saya dibuat oleh orang ini tetapi Kakak saudara, Arwah Makcik dan abang saudara saya sengsara juga kerana orang ini. Saya meminta supaya bertaubatlah dan hilangkan rasa iri hati dan cemburu dan jangan kerana wang ringgit, kita jadi sesat. Naudzubillah...

Balik kepada hal keluarga saya pula, saya hanya dapat berserah kerana apapun penyakit yang datang dan pergi itu kehendak Tuhan.