Sabtu, 18 April 2020

Isteri membisu, lampam mengganas

 

Oleh Abdullah Ngah

BOLEH katakan hampir semua orang Kampung Tuan Mandak mengenali Ku Ngah Isteri membisu, lampam mengganas





















BOLEH katakan hampir semua orang Kampung Tuan Mandak mengenali Ku Ngah. Beliau pernah digelar sebagai gila mengail...
BOLEH katakan hampir semua orang Kampung Tuan Mandak mengenali Ku Ngah. Beliau pernah digelar sebagai gila mengail. Beliau akan rasa puas apabila berada di tebing sungai dengan sebatang joran buluh. Beliau tetap dengan pendiriannya. Bukan tak ada duit untuk membeli joran moden macam kebanyakan orang sekarang. Tetapi beliau lebih selesa dengan joran klasik.

Dapat atau tidak dapat ikan, beliau tidak peduli. Ku Ngah tetap setia dengan pancingnya. Hujan panas ribut taufan bukan penghalang baginya. Malah pernah suatu masa dulu beliau lemas dilarikan arus teras Sungai Nerus dalam musim tengkujuh. Beliau tidak pernah serik dengan apa yang berlaku. Itulah jati diri Ku Ngah.

Memancing ikan lampam di Sungai Nerus adalah minatnya. Isterinya boleh dikatakan sama-sama minat. Kadang-kadang isterinya turut menemani Ku Ngah. Sebagai galakkan. Itulah yang pernah dilakukan isteri pertama yang tercinta itu. Manakala isteri keduanya yang juga sudah lanjut usia kurang setuju dengan hobinya.


Yang pelik, orang lain tak boleh lawan Ku Ngah pasal memancing ikan lampam. Malah ada orang lain menuduh Ku Ngah ada ilmu. Beliau tak kisah dengan tuduhan itu.

Suatu hari Ku Ngah pergi memancing ikan lampam tanpa memberi tahu isteri dan anak. Walaupun demikian, isteri dan anaknya pasti sedia maklum. Kalau walidnya lambat pulang hatta pada malam hari pun mereka tidak bimbang. Pasti walidnya ada di tebing Sungai Nerus sedang memancing.

Air teh dan ketupat pulut yang tersedia di atas meja tidak dijamah. Entah mengapa pagi itu Ku Ngah tidak berselera menjamah sarapan. Isterinya hairan.

“Bang! Bang!” panggil isterinya sambil mengintai-intai di bawah melalui tingkap kecil.

Ku Ngah kelibat di bawah sambil memegang joran buluh dan melangkah perlahan-lahan.

“Bang.... ini air teh ni. Tak minum ke?” kata isterinya lagi.

“Balik nanti,” kata Ku Ngah terus melangkah.

Apabila sampai saja di tebing sungai, hati kecilnya berkata hari itu rezekinya pasti banyak. Beliau menghalakan pandangan ke tengah-tengah sungai. Air mula pasang.

Sebelum memasang umpan di mata pancing, Ku Ngah terlebih dulu membaca al-Fatihah untuk mengambil berkat.

Dilihat dalam air ada kelibat ikan lampam. Beliau melontar mata kail. Jorannya diletak di atas peha.

Tiba-tiba joran disentap kuat. Dengan pantas Ku Ngah menyambar dan menarik kail. Mata kail sudah tidak ada. Putus.

Ku Ngah hairan dan berkata: “Mata kail putus...” Memang selama ini kailnya tak pernah putus.

Dalam hatinya kecewa dan menyumpah.

Kemudian Ku Ngah teringat dengan pesan tok gurunya supaya jangan sekali-kali menyumpah dengan berkata ‘sial’ terhadap sesuatu yang berlaku ke atas diri sendiri.

Umpan dilontar lagi ke dalam air. Matanya masih tertumpu di dalam air. Kelibat ikan lampam masih ada.

Fikirannya bercelaru antara balik atau tidak. Tiba-tiba muncul kelibat bayang seorang perempuan.

“Mu Mah?” tanya Ku Ngah.

Kalau isterinya sudah pasti dijawab teguran itu. Ku Ngah naik hairan. Siapakah gerangan perempuan itu sambil menoleh ke belakang dan mengintai-intai dan terus undur selangkah. Terasa bahunya dijamah tangan seorang perempuan.

“Mah.. tolong aku. Kau tolong ambil mata kail dalam kotak plastik dekat tiang seri di rumah tu,” kata Ku Ngah.

Juga tak dijawabnya. Senja semakin tua. Perut berkeroncong lapar bukan main. Maklum saja perutnya belum masuk sebarang apa pun sejak pagi tadi. Beliau hairan kenapa hari itu masanya terlalu cepat berlalu. Sudah hampir malam.

“Mah tolong abang sekali,” kata Ku Ngah lagi.

Apabila memalingkan wajah ke arah kelibat perempuan, tiada kelihatan apa-apa pun. Mungkin isterinya pantas pulang ke rumah untuk mengambil mata kail yang disuruh tadi.

“Cepat sikit ikan tengah banyak ni,” kata Ku Ngah.

Azan Maghrib berkumandang dari arah masjid Kampung Buluh Gading. Isterinya belum sampai-sampai lagi. “Tak boleh jadi,” kata hati kecil Ku Ngah lalu melangkah ke arah pangkalan tempat mandi manda.

Apabila sampai di tebing pangkalan, Ku Ngah melihat seorang perempuan duduk menghalakan pandangannya ke sebarang sungai. “Siapa pulak ni” hatinya berkata. Hendak dikatakan isterinya, dia balik mengambil mata kail yang disuruh tadi.

“Mah kenapa tak balik” kata Ku Ngah. Tidak ada jawapan.

“Hai.... Mah, kan aku suruhmu ambil mata kail tadi,” kata Ku Ngah dengan suara agak keras.

Perempuan itu diam dan tidak bergerak. Ku Ngah hairan siapakah perempuan itu.

Isterinya masih belum bergerak dan tetap di situ. Bila selesai berwuduk, Ku Ngah naik semula ke atas tebing. Sebaik sampai saja dekat isterinya yang duduk, tiba-tiba dia berdiri.

“Kan tadi abang suruh ambil mata kail,” kata Ku Ngah.

Isterinya itu terus mengubah posisi dan naik memanjat anak tangga tanpa berkata. Ku Ngah hairan dengan perangai yang tunjukkan oleh perempuan itu yang masih dianggap isterinya.

Waktu Maghrib sudah jauh berlalu. Ku Ngah cepat turun ke anak tangga paling bawah untuk mengambil wuduk. Sebaik selesai saja mengambil wuduk, beliau mendongak ke atas tebing. Kelibat isterinya masih ada.

“Tak balik lagi” kata Ku Ngah penuh yakin.

Hatinya setakat ini masih yakin perempuan itu adalah isterinya. Belum terlintas sebarang anggapan yang perempuan itu bukan isterinya atau hantu yang menyerupai perempuan untuk menakut-nakutnya.

Ku Ngah memang tidak pernah takut dengan hantu yang pernah ditemui sebelum ini. Memang pada waktu Maghrib hantu sering menjelma.

Ku Ngah menaiki anak tangga. Sebaik mendongak, kelibat isterinya sudah hilang. Dihalakan pandangan ke depan. Beliau nampak isterinya berjalan balik ke rumah. Ku Ngah mengikut dari belakang dengan pantas.

Langkah isterinya cukup pantas. Apabila sampai di tangga rumah, isterinya sudah melangkah naik dan masuk ke dalam rumah.

“Mah... tunggu!” kata Ku Ngah.

“Mah...! Mah...!”panggil Ku Ngah

“Mi sembahyang lid” jawab seorang anak perempuannya dari dapur.

“Mimu baru saja naik tadi. Tak tunggu solat jemaah ke?” kata Ku Ngah.

“Lid.... mana ikan lid” tanya anak bongsunya yang berusia dua belas tahun ambil memegang tangan ayahnya.

“Tak dapat,” jawab Ku Ngah sambil melangkah ke dalam rumah untuk menunaikan solat Maghrib.

“Mah... Tunggu, kita solat sekali,” kata Ku Ngah.

“Mah dah sudah,” kata isterinya.

“Eh.... cepat betul awak solat,” kata Ku Ngah.

“Ingatkan tak balik tadi,” kata isterinya lagi

“Amboi.... baru saja naik” kata hati kecil Ku Ngah dan mula ada tanda tanya.

Apa-apa pun Ku Ngah sudah terlalu lewat untuk solat Maghrib. Beliau bertindak dengan pantas untuk menunaikan perintah yang wajib.


Sumber